jump over navigation bar
Embassy SealUS Department of State
U.S. Embassy Singapore - Home flag graphic
policyhead.gif
 
 

U.S. Singapore Relations

'Imam' beri bimbingan moral pada tentera AS
By Khalid Khamis
Berita Harian article
July 18, 2003


DENGAN tubuh yang sasa, beliau kelihatan segak dalam pakaian seragam angkatan tentera Amerika Syarikat.

Tetapi, tugasnya berbeza daripada kebanyakan askar lain - memberi bimbingan moral kepada anggota tentera.

Ini kerana Leftenan Muhiyyaldi Noel, yang beragama Islam, adalah seorang chaplain, atau pemimpin agama dalam angkatan tentera itu.

Beliau juga merupakan orang Islam pertama memegang jawatan itu dalam angkatan tentera Amerika.

Leftenan Muhiyyaldi, 40 tahun, yang mempunyai ijazah dalam pengajian Islam dari Kolej Islam Amerika di Chicago, dilantik sebagai chaplain pada 1996.

Beliau ditemui Berita Harian semasa kapalnya berhenti di sini selepas terlibat dalam satu latihan ketenteraan di rantau ini.

Menyingkap tanggungjawab beliau itu, Leftenan Muhiyyaldi, yang bergelar 'imam' dalam jawatan itu, berkata walaupun beragama Islam beliau perlu prihatin dan menjaga keperluan setiap anggota angkatan tentera itu, yang rata-rata beragama Kristian.

Sebagai chaplain, beliau bertanggungjawab untuk menyokong semua hak anggota tentera yang beragama, tidak mengira apa jua agama yang dianuti.

Ini bermakna beliau diperlukan memberi khidmat kaunseling kepada semua tanpa mengira agama dan kepercayaan mereka.

Tugasnya ialah memberi sokongan kepada angkatan tentera dan membantu membentuk suasana di mana setiap individu dapat menyertai angkatan itu dengan selesa.

Namun, Leftenan Muhiyyaldi, yang menyertai tentera AS pada 1979, menegaskan beliau tidak pernah menjual maruah sebagai orang Islam dalam menjalankan tugasnya itu.

'Sebagai seorang Islam, saya tetap menjalankan tugas sebagai imam, sama-sama memimpin jemaah Islam, mengadakan majlis tahlil dan juga sembahyang. Tetapi saya tidak akan menjual diri saya sebagai orang Islam walaupun dilantik sebagai chaplain,' katanya.

Menurut beliau, dalam tentera Amerika kini terdapat tiga imam yang bertauliah dan antara 10,000 dengan 15,000 askar beragama Islam, iaitu sekitar 2 peratus daripada bilangan anggota tentera.

Leftenan Muhiyyaldi berpangkalan di Okinawa, Jepun, sejak Oktober tahun lalu.

Pegawai yang belum berumah tangga itu mengadakan kelas tiga kali seminggu bagi 34 askar yang ingin mengetahui tentang Islam.

Beliau juga sedang mengajar enam orang warga Jepun yang berminat untuk menganuti Islam.

Menjawab soalan mengenai reaksi rakan-rakannya yang bukan beragama Islam selepas serangan 11 September, Leftenan Muhiyyaldi berkata mereka tidak pernah mempersoalkan kesetiaannya.

'Mereka memahami bahawa saya seorang Islam dan Islam yang sebenar adalah agama yang mencintai kedamaian dan bukan pengganasan,' kata beliau sambil berkata pendidikan adalah kunci bagi membetulkan salah tanggapan mengenai Islam.

Berita Harian

--------------------------------------------------------------------

Copyright © 2003 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne

back to top ^

Page Tools:

Printer_icon.gif Print this article



 

    This site is managed by the U.S. Department of State.
    External links to other Internet sites should not be construed as an endorsement of the views or privacy policies contained therein.


Embassy of the United States