cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.
Biarpun miskin tetap rajin baca buku
By Veronica Scarborough
ANDA adalah guru pertama anak anda.
Anda mesti mengajar anak anda membaca, menulis dan mengira di rumah. Jangan tunggu sehingga anak anda masuk sekolah untuk anak anda belajar itu semua.
Itulah pesanan dua generasi pustakawan Melayu dari Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) kepada ibu bapa yang menghadiri Bengkel Memupuk Minat Membaca semasa Pesta Buku Melayu/Islam 2004 di Wisma Indah, Changi Road, baru-baru ini.
Cik Pungut Sapii, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun sebagai seorang pustakawan, menjelaskan bahawa bayi juga memerlukan ibu bapa membaca kepada mereka.
Cik Azizah Osman dan Encik Johan Abdul Rahman pula memberitahu para peserta cara-cara membuat pemilihan buku untuk kanak-kanak dan mengadakan kegiatan kraf tangan untuk menarik minat anak supaya membaca dan belajar.
Saya yakin akan nilai-nilai dan pentingnya membaca berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang kanak-kanak, ibu, guru dan pustakawan.
Keluarga saya melarikan diri ke Amerika Syarikat daripada sebuah negara miskin dan pemerintahan diktator.
Mereka mahukan hak untuk bersuara dan kebebasan agama. Mereka sampai ke Amerika Syarikat dengan hanya AS$50.
Keluarga saya, walaupun miskin, faham akan pentingnya pelajaran. Kami baca beratus-ratus buku yang dipinjam daripada perpustakaan awam di tempat kami.
Atas sebab ini, saya berjaya di sekolah dan akhirnya mendapat biasiswa untuk dua sarjana dalam bidang pendidikan dan perpustakaan.
Sebagai seorang pustakawan di sekolah rendah awam dan sebagai seorang guru sejarah di sekolah tinggi awam, saya dapati pelajar-pelajar yang suka membaca mendapat markah yang lebih tinggi dan punya peluang lebih baik melanjutkan pelajaran ke universiti.
Malangnya, kanak-kanak yang sedang membesar selalunya berhenti membaca dan lebih gemar menonton televisyen, bermain permainan komputer, atau pergi membeli-belah.
Oleh kerana itu amat penting bagi ibu bapa dan guru-guru menjadi contoh kepada anak-anak dengan mengamalkan tabiat membaca, membawa anak-anak ke perpustakaan, dan juga sediakan buku-buku di rumah.
Keluarga dan guru-guru di Singapura beruntung kerana Singapura mempunyai sistem perpustakaan yang hebat dan para pustakawan yang kreatif dan bekerja keras.
Malah, perpustakaan merupakan salah satu sebab utama saya memilih untuk bekerja di Singapura, meletakkan Singapura sebagai pilihan pertama saya daripada 70 tempat lain.
Saya pilih Singapura kerana, seperti Amerika Syarikat, ia merupakan negara berbilang bangsa di mana penduduknya bebas untuk mengamalkan kepercayaan, kebudayaan dan bahasa ibunda mereka, dan penduduknya menggunakan bahasa Inggeris untuk berinteraksi.
Sebelum datang ke Singapura, saya belajar bahasa Melayu selama lima bulan.
Guru saya merupakan seorang wanita Melayu Malaysia, yang tinggal di Singapura semasa dia kecil.
Cikgu Salmy mengajar saya bahasa Melayu dan juga tentang negara, agama dan kebudayaannya.
Cikgu Salmy juga membawa saya menghadiri aktiviti-aktiviti di kedutaan Malaysia di Washington, ke masjid tempatan, dan ke rumah-rumah terbuka semasa Hari Raya.
Saya suka berbahasa Melayu dan berjumpa dengan orang Melayu.
Sebagai seorang pegawai di Kedutaan Amerika Syarikat, saya berharap dapat bekerja dengan masyarakat Melayu di Singapura dalam program-program pendidikan.
Pejabat saya mentadbirkan Program Fullbright yang memberi peluang kepada warga Singapura belajar di Amerika Syarikat.
Melalui program Pelawat Antarabangsa, bakal pemimpin-pemimpin Singapura akan melawat Amerika Syarikat dan mengkaji topik-topik tertumpu seperti pendidikan.
Kedutaan Amerika Syarikat juga menderma buku-buku, CD, dan DVD daripada Amerika Syarikat kepada sekolah-sekolah, termasuk juga koleksi buku-buku Braille untuk orang buta.
Saya rasa berpuas hati dan juga gembira dapat berkhidmat untuk negara saya di Singapura.
Ini merupakan tempat yang baik untuk membina keluarga, selamat dan terdapat banyak kegiatan untuk orang dewasa dan kanak-kanak.
Saya harap kita akan bekerjasama untuk menggalakkan kanak-kanak membaca.
NOTA: Penulis ialah Timbalan Pengarah Pejabat Ehwal Awam di Kedutaan Amerika di sini.